Wednesday, August 27, 2008

Kenyataan Media National Institute for Electoral Integrity (NIEI) berkenaan dengan pilihanraya kecil di Permatang Pauh15 08 2008

14 Ogos 2008
Pilihanraya kecil di Permatang Pauh akan diadakan pada 26 Ogos 2008 berikutan dengan perletakan jawatan Dr. Wan Azizah sebagai ahli parlimen kawasan tersebut pada 31 Julai 2008 yang lalu.
SPR telah mengumumkan bahawa hari penamaan calon bagi pilihanraya kecil Permatang Pauh ialah pada 16 Ogos sementara hari mengundi ialah pada 26 Ogos 2008.
NIEI mengecam tindakan SPR meletakkan tarikh mengundi pada 26 Ogos 2008, iaitu pada hari Selasa bersamaan dengan hari kerja kerana ianya bertentangan dengan kempen untuk menggalakkan rakyat mengundi dan terlibat secara aktif didalam pilihanraya.

Berdasarkan pengalaman pilihanraya kecil yang lalu, tidak ada masalah untuk SPR menetapkan hari mengundi pada hari Sabtu dan Ahad, iaitu hari cuti. Contohnya seperti pilihanraya kecil di Batu Talam yang diadakan pada hari Ahad (28 Januari 2007) dan Ijok yang diadakan pada hari Sabtu (28 April 2007).
NIEI mentafsirkan bahawa SPR mempunyai niat jahat untuk mensabotaj pihak-pihak tertentu yang terlibat dengan pilihanraya kecil ini untuk mengurangkan peratusan pengundi dengan meletakkan hari mengundi pada hari Selasa, iaitu pada hari bekerja.
Ini akan menyukarkan pengundi-pengundi Permatang Pauh yang bekerja di bidang swasta dan juga awam; setakat ini tiada lagi perisytiharan cuti atau pun pemberian tempoh masa bagi mereka keluar dari tempat kerja untuk mengundi. Manakala pengundi yang bekerja di luar Pulau Pinang yang dianggarkan sekitar 1,000 orang, pastinya ramai yang tidak dapat pulang mengundi.
NIEI akan menghantar 10 orang pemantau (mobile observers) ke Permatang Pauh untuk memantau perjalanan proses pilihanraya kecil tersebut bermula dari hari penamaan calon, tempoh berkempen dan hari mengundi bagi memastikan ianya mencapai standard “adil dan bebas” seperti yang termaktub dalam The Universal Declaration of Human Rights, the ICCPR, and other international instruments establish two essential conditions for democratic elections: (1) universal and equal suffrage, and (2) a secret ballot.
Selain daripada itu, NIEI juga akan menjadi tuan rumah kepada Asian Network for Free Election (ANFREL) sebuah badan pemantau pilihanraya antarabangsa yang akan menghantar wakil mereka untuk menyaksikan pilihanraya kecil yang berprofil tinggi tersebut.
NIEI juga telah memohon The Carter Center sebuah badan yang dipengerusikan oleh bekas presiden Amerika Syarikat, Jimmy Carter untuk menghantar wakil mereka untuk memantau perjalanan pilihanraya kecil di Permatang Pauh dan sedang menunggu pengesahan kehadiran daripada mereka.
NIEI mendesak SPR agar menjadikan Permatang Pauh sebagai medan untuk menggunakan dakwat kekal yang telah dibeli dengan harga RM 2.4 juta dari India. Penggunaan dakwat kekal ini penting untuk menghilangkan kecurigaan rakyat terhadap dakwaan berlakunya penggundian berulang dan “undi hantu”.
NIEI menyeru agar semua pihak yang bertanding dalam pilihanraya kecil ini menghormati hak rakyat untuk mendapatkan pilihanraya yang aman, bebas dan adil.
NIEI menggesa media arus perdana terutamanya RTM yang dimiliki oleh negara agar bersifat neutral dan memberikan laporan yang adil kepada semua pihak yang bertanding dalam pilihanraya kecil ini.
Terima kasih,

Amin Iskandar
Pengarah Eksekutif, NIEI

No comments: