Wednesday, September 1, 2010
AMALAN SUNAT DI AIDIL FITRI
AMALAN SUNNAH SEMPENA AIDILFITRI
Menyambut AidilFitri adalah satu syariat dari Allah SWT. Oleh itu melaksanakanya adalah satu ibadat, dan ibadat tidak boleh bercampur dengan maksiat. Jadi kita mestilah menjauhkan diri kita daripada sebarang bentuk maksiat yang ada seperti menonton TV, bersalaman dengan bukan muhrim dan sebagainya. Ini adalah selari dengan makna Aidil Fitri iaitu hari kita kembali kepada fitrah (suci dari dosa). Janganlah kita mencemarkan fitrah kita di awal pagi Aidil Fitri. Sambutan Aidil Fitri telah disyariat pada 1hb Syawal saja. Jadi pada hari tersebut kita seharusnya menjaga adap kita agar kita sentiasa berada dalam keadaan fitrah kita.
Terdapat beberapa amalan sunat yang telah tunjukkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan para sahabat untuk kita contohi dalam menyambut Aidil Fitri.
1.Bertakbir.
Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah.
Adalah juga disunnahkan untuk kita bertakbir disepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke masjid untu menunaikan solat Aidilfitri. Bertakbir sejak mula keluar dari rumah bertujuan menyerlahkan syiar Islam di setiap pelusuk jalan yang dilalui ketika menuju ke tempat solat.
2.Lafaz ucapan selamat pada hari raya Aidilfitri.
Majoriti amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin’. Para sahabat Rasulullah mengucapkan 'taqabbalullah minna waminka’ apabila bertemu sesama mereka.
3.Meneruskan qiamullail.
Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini tidak bermaksud mengkhususkan pada malam Aidilfitri untuk dikerjakan qiamullail.
4.Mandi pada pagi hari raya.
Disunnahkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib, iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat Aidilfitri.
5.Makan sebelum solat Aidilfitri.
Disunnahkan kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya.
6.Memakai pakaian yang indah.
Disunnahkan kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya.
Bagi kaum wanita pula walaupun disunnahkan memakai pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menarik perhatian golongan lelaki.
Disunnahkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunnahkan kepada kaum wanita. Dibenarkan bagi wanita untuk memakai wangian yang keharuman sekadar untuk menjaga dirinya dari berbau busuk dan tidak sehingga menarik perhatian orang di sekelilingnya. Haruman-haruman yang kuat dan boleh menaikkan nafsu berahi hanyalah khusus untuk suaminya.
7.Berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat hari raya.
Umat Islam dianjurkan berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri jika tidak keberatan.
8.Mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya.
Disunnahkan juga mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya.
9.Tempat perlaksanaan solat hari raya.
Sunnah mengerjakan solat hari raya di kawasan lapang atau musholla (tempat terbuka seperti padang sehingga khatib dapat melihat semua hadirin) merupakan satu amalan yang jarang dilakukan di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi s.a.w. • Mengerjakan Solat Aidilfitri
Di antara syiar yang palin utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlakasanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam.
10. Bergembira Pada Hari Raya Aidilfitri
Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat. Bagi kita di Malaysia, kegembiraan sambutan hari rayaAidil fitri dapat dilihat dengan memakai baju-baju baru yang indah, seluruh ahli keluarga berkumpul, ziarah-menziarah sesama umat Islam dan pelbagai lagi. Semua bentuk suasana kegembiraan dan kemeriahan ini adalah sebahagian dari tuntutan agama Islam sempena menyambut hari raya Aidilfitri selagi ia dilaksanakan sesuai dengan lunas-lunas syarak.
11. Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal
Puasa dalam bulan syawal boleh dilaksanakan bermula dari 2 hb Syawal secara berturut-turut ataupun pada bila-bila sepanjang bulan syawal.
Subscribe to:
Posts (Atom)